Monday, June 22, 2009

PR Tolak Kerajaan Perpaduan Sebagai Fitnah UMNO



Pakatan Rakyat hari ini secara rasmi menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan membabitkan Umno-BN sebagai tindakan terdesak UMNO untuk menimbulkan kekecohan dalam gagasan pembangkang itu.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP bersetuju cadangan kerajaan perpaduan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Ketua Umum Keadilan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Menurut kenyataan itu, Pakatan akan mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan BN bagi membincangkan isu- isu melibatkan kepentingan negara dan rakyat, contohnya usaha- usaha memulihkan ekonomi.

Mesyuarat sejam itu turut dihadiri oleh timbalan-timbalan presiden, naib presiden dan setiausaha agung parti komponen Pakatan.

Bagaimanapun Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa yang menjadi tumpuan bersabit isu itu tidak hadir.


KENYATAAN AKHBAR MAJLIS PIMPINAN PAKATAN RAKYAT

22 Jun 2009- Pendirian Pakatan Rakyat Berkenaan Isu Kerajaan Perpaduan

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat telah mengadakan pertemuan di Pejabat Ketua Pembangkang hari ini Isnin 22 Jun dan mengambil keputusan berikut:

1. Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang.

2. Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan UMNO / Barisan Nasional yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat.

3. Pada masa yang sama Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan pimpinan Barisan Nasional bagi membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara dan rakyat seperti usaha pemulihan ekonomi, meningkatkan kualiti pendidikan, mengembalikan semula integriti institusi kehakiman, memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri, skandal RM 12.5 bilion projek PKFZ, salahguna kuasa kepimpinan polis sementara kes jenayah semakin meningkat, membanteras rasuah dan menjana urustadbir yang baik, menjalankan pilihanraya yang bebas dan adil, membubarkan DUN Perak serta menjalankan pilihanraya dengan segera bagi menyelesaikan krisis rampasan kuasa negeri Perak.

YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim
YB Dato’ Seri Abdul Hadi Awang
YB Lim Kit Siang

2 comments:

  1. Berhat-hatilah bilamana menulis blog. Tulis dengan ilmu & iman.

    "Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu berdosa, dan janganlah kamu mengintip, mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengahnya yang lain. Apakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani. " (Al Hujurat ayat 12)

    View Profile: Rantong™

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana berkongsi komen.
    Terima kasih juga kerana berkongsi ilmu Islam.
    Sebagai seorang rakyat Malaysia, saya sebenarnya berminat untuk mendalami ajaran Islam.
    Oleh itu, adalah digalakkan komen-komen yang berteraskan ajaran Islam.

    ReplyDelete

Komen anda dialu-alukan.