Tuesday, April 28, 2009

PAS 'tolak ansur', mahu benarkan calon bukan Islam guna lambang Bulan



PAS mengambil satu lagi langkah 'bertolak ansur' dengan mahu membenarkan calon bukan Islam menggunakan lambang parti itu ketika pilihan raya dalam usaha menarik lebih ramai penyokong bukan Islam.

Ketika mengesahkan perkara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Salahuddin Ayub berkata, cadangan membolehkan calon-calon bukan Islam untuk menggunakan lambang parti itu akan diputuskan secara muktamad oleh Majlis Syura Ulamak yang akan bermesyuarat selepas Muktamar tahunan parti bulan Jun ini.

"Perkara itu (cadangan untuk membenarkan calon bukan Islam menggunakan lambang PAS) telah dibincangkan secara serius dalam mesyuarat bulan Jawatankuasa PAS pusat bulanan minggu lalu.

"Kami (Dewan Pemuda PAS pusat) menyokong penuh keputusan yang telah diputuskan oleh jawatankuasa pusat," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, Majlis Syura mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak cadangan yang dikemukakan itu.

Majlis Syura Ulamak PAS dianggotai oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Harun Din dan Abdul Ghani Shamsuddin.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, dalam mesyuarat jawatankuasa pusat itu hampir kesemua sayap parti itu bersepakat untuk bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan itu.

"Ahli-ahli parti juga tidak ada masalah berbangkit dalam hal ini. Mereka memberi sambutan yang hangat terhadap isu ini.

"Mungkin ini masa yang sesuai untuk pucuk pimpinan menimbangkan dengan lebih mendalam mengenainya," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-12 Mac tahun lalu, buat pertama kalinya PAS membenarkan calon bukan Islam daripada Parti Keadilan Rakyat bertanding di kawasan kerusi 'milik' PAS iaitu bahagian Dewan Undangan Negeri Seri Medan, Johor.

Bagaimanapun calon tersebut, Saja @ Mearaj Patani tewas kepada Ahmad Zahri Jamil dari BN dan Umno.

Ditanya adakah perkara tersebut akan mengubah perlembagaan PAS sekali gus membuka keahlian parti itu kepada masyarakat bukan Islam, Salahuddin berkata:"Setakat ini belum ada lagi. Namun kita tidak menolaknya. Kita perlu lihat kepada pendekatan politik semasa."

"Jika pendekatan itu mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum mungkin ia akan dipertimbangkan," katanya lagi. - mstar

No comments:

Post a Comment

Komen anda dialu-alukan.